‘Aku diberi peluang kedua’ – Banduan pesalah dadah bersyukur terlepas hukuman gantung

‘Aku diberi peluang kedua’ – Banduan pesalah dadah bersyukur terlepas hukuman gantung

‘Aku diberi peluang kedua’ – Banduan pesalah dadah bersyukur terlepas hukuman gantung. Pemansuhan hukuman mati yang akan dibentang di Dewan Rakyat bulan ini mencetus perbalahan dalam kalangan umum.

Bagi masyarakat jika sudah bergelar banduan, hukuman wajar perlu diberikan.

Namun jika dilihat sisi lain, tidakkah si pesalah juga wajar mendapat pengampunan atau peluang kedua?

'Aku diberi peluang kedua' - Banduan pesalah dadah bersyukur terlepas hukuman gantung

Wartawan berkesempatan bertemu dengan bekas penghuni tirai besi yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah.

Syukurlah peluang kedua itu ada, dia dibebaskan daripada hukuman ngeri itu dan dijatuhkan hukuman 17 tahun penjara serta 10 sebatan.

Dikenali dengan panggilan Yie, 63 tahun, terlalu banyak kisah hidup yang ingin dikongsikannya selagi punya kesempatan waktu.

Ketika menceritakan pengalaman lampaunya, dia mengakui terkurung di sebalik jeriji besi untuk suatu tempoh masa yang lama telah mengoyak nafsu dan keegoan supaya meratapi kesalahan lampau dilakukannya.

“Masa itu saya baru berusia 20-an, hidup belum enjoy (puas) lagi dah tunggu nyawa digantung tali.”

“Saya sedih sangat mengenangkan waktu itu, saya insaf, setiap kali saya berdoa saya selalu berdoa supaya saya diberi peluang kedua untuk saya hidup balik.”

Dalam pada itu, Yie yang pernah bekerja sebagai juruteknik itu berkata, jika boleh menaiki mesin masa, dia tidak mahu melakukan kesalahan itu.

Dia mengakui salah membuat keputusan akibat kesempitan wang, walaupun niat suci mahu melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya.

“Saya pesan pada tunang saya untuk tidak tunggu lagi kerana pada waktu itu saya sudah pasti akan digantung.”

“Laburlah duit sebanyak manapun untuk lantik peguam hebat, belum tentu boleh menang untuk lawan kes saya.”

“Masa itu saya pesan padannya juga untuk pergi cari lelaki lain dan jangan tunggu saya”, ujarnya dengan sebak sebaik menceritakan punca dia terjerumus dalam kegelapan jenayah.

Kini dua dekad berlalu.

Tirai besi mengajarnya menerima keadaan dengan redha, selain menjadi insan yang tabah serta mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

“Semasa menghuni penjara, saya bersyukur saya mengenali Islam dan Islamlah mengajar saya erti keinsafan.”

“Alhamdullilah, dengan kuasa-Nya itu saya diberi peluang untuk hidup balik dan sampai harini saya seronok”, kongsinya.

Tambahnya, peluang kedua amat dinantikannya dan sebagai bekas banduan akhir dia tidak akan lupakan episod ini.

“Sebaik mahkamah pecahkan seksyen kepada hukuman 17 tahun penjara dan 10 sebatan, saya gembira.”

“Masa itu saya jerit kegembiraan, kerana terlepas hukuman gantung dan dapat hidup semula. Memang seronoklah, lebih seronok daripada menang loteri tempat pertama”, katanya.

Pada 10 Jun tahun lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian.

Hukuman akan tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

Baca Lagi:
Lebih 15,000 umat Islam munajat bersama PM Anwar
Majlis pimpinan tertinggi BERSATU tolak perletakan jawatan Muhyiddin
Lelaki terlibat dalam pergaduhan maut dengan isi perut terburai
CATEGORIES