Durian, raja buah yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia, kini mencetuskan satu lagi kontroversi.
Bukan kerana rasa atau aromanya, tetapi kerana sekumpulan lelaki menikmati raja buah ini dengan cara yang berbeza, iaitu makan kulit durian yang berduri.
Baru-baru ini, akaun TikTok Gamiya Travel telah memuat naik beberapa video ASMR yang menunjukkan sekumpulan lelaki mencuba kulit durian.
Dalam video tersebut, dua lelaki kelihatan tenang sambil mencelup kulit durian ke dalam dua jenis sos, satu yang kelihatan seperti sambal merah dan satu lagi seperti sos berkrim.
Setelah mencelup kulit tersebut, mereka menggigit dan memakannya tanpa menunjukkan sebarang reaksi pelik.
Bagi rakyat Malaysia, yang biasanya hanya makan isi durian yang lembut dan manis, tindakan ini kelihatan sangat mengejutkan.
Dalam video tersebut, setiap gigitan menghasilkan bunyi yang cukup mengerikan, membuatkan penonton merasa ngilu.
Komen-komen netizen Malaysia mencerminkan rasa terkejut mereka.
Ada yang menulis, “Brother, itu bukan cara makan durian!” sementara yang lain bertanya, “Tak rasa tajam ke (duri-duri tu)?”
Boleh makan rupanya kulit durian. pic.twitter.com/ov9ItdIPsd
— Epulisan Al Gaib (@epuliskandar) June 29, 2024
Video-video ini telah menjadi tular, mengundang pelbagai reaksi dari netizen yang hairan bagaimana mereka mampu makan kulit durian dengan tenang.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, mengigit kulit durian sama seperti mencabar diri untuk menahan sakit.
Kulit durian yang keras dan berduri dianggap tidak boleh dimakan.
Namun, dalam video ASMR ini, lelaki-lelaki tersebut kelihatan selamba menikmati setiap gigitan.
Fenomena ASMR (Autonomous Sensory Meridian Response) ini bukanlah perkara baru.
Ia sering digunakan untuk memberikan sensasi santai kepada penonton melalui bunyi-bunyian tertentu.
Tetapi, makan kulit durian sebagai ASMR? Itu satu perkara baharu dan menakutkan.