Pemain pinjaman Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, dilaporkan mengalami kecederaan kepala selepas menjadi mangsa samun dalam sebuah kejadian di Terengganu.
Kejadian tersebut berlaku di Tanjung, Kuala Terengganu pada pukul 9 malam pada hari Khamis. Rakaman Akhyar yang sedang menunggu rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah telah tersebar luas di laman penyokong Terengganu FC.
Akhyar, yang kelihatan duduk di kerusi roda, didakwa mengalami kecederaan kepala selepas dipukul dua kali dengan cota, seperti yang dikongsi dalam ciapan akaun X Bola Sepak Terengganu.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Kuala Terengganu.
Suspek yang tidak dikenali telah menyerang Akhyar yang baru saja keluar dari keretanya dengan menggunakan senjata. Suspek juga merampas dompet dan telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.
Dalam rakaman tersebut, Akhyar yang juga pemain sayap Harimau Malaya ditemani oleh kakaknya, Rashidah Rashid, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Eyka Farhana, seorang selebriti tempatan, juga kelihatan menemaninya di hospital.
View this post on Instagram
Akhyar baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke-25 pada hari Rabu.
Sehingga kini, tiada laporan yang diterima daripada pihak polis berkenaan dengan kejadian tersebut.