Air mata ‘jantan’ Faisal Halim gugur selepas saksikan latihan pusat Harimau Malaya.
Air mata ‘jantan’ Faisal Halim gugur di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas beliau hadir menyaksikan rakan sepasukannya dalam skuad Harimau Malaya mula menjalani latihan, hari ini.
Jelas Faisal, yang lebih dikenali sebagai ‘Mickey’, beliau datang untuk memberi sokongan kepada rakan sepasukan yang akan bersaing dalam Pestabola Merdeka 2024, minggu hadapan.
Katanya, beliau sedih kerana tidak dapat menyertai pasukan, namun sentiasa mendoakan agar pasukan mampu menyerlah nanti.
“Sebenarnya sedih sebab saya tak dapat bersama-sama pasukan. Banyak kenangan berlatih di Wisma FAM ini saya sudah lalui banyak tahun…inilah tempat saya.
“Tempat saya berjuang untuk pasukan kebangsaan dengan rakan dan jurulatih, tapi hari ini saya datang sebagai tetamu melihat rakan saya berlatih,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Tambahnya lagi, beliau akan segera kembali, dan tidak sabar untuk memperkuatkan skuad negara.
“Saya datang hari ini atas jemputan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM), yang hubungi saya semalam untuk datang sebagai tetamu dan memberi semangat kepada rakan-rakan.
“Saya pun rindu kenangan ini, saya rindu saat-saat ini dan saya juga sudah berjumpa jurulatih Pau Marti Vicente sebelum ini,” katanya.
Faisal terlepas daripada kem latihan pusat kerana baru pulih daripada kecederaan akibat disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu. Kali terakhir pemain sayap lincah itu bersama skuad negara adalah pada Mac lalu ketika bersaing dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.