Ahli politik wanita terkenal didakwa terbabit sindiket ‘jual’ orang di Myanmar.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mereka bekerja sebagai ‘scammer’ penipuan judi secara dalam talian.
Beliau berkata, ahli politik wanita tersebut adalah bekas ahli parlimen, manakala suaminya adalah seorang pesara kakitangan kerajaan.
Katanya, baru-baru ini, satu video tular di media sosial mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar dengan tajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.
“Terdapat ramai rakyat Indonesia yang menjadi mangsa sindiket ini secara terang-terangan,” katanya sebelum menyerahkan memorandum di luar bangunan SPRM di sini, tadi.
Difahamkan ahli politik tersebut telah terlibat dalam sindiket berkenaan sejak Mac 2020, dan isu ini baru sahaja tular di media sosial baru-baru ini.
Hishamuddin berkata, klip video berdurasi kira-kira setengah jam yang tular itu amat mengejutkan kerana menunjukkan pembabitan ahli politik Malaysia dalam kumpulan sindiket tersebut bersama suaminya.
Beliau mendakwa, berdasarkan video itu, ahli politik wanita tersebut menyatakan bahawa suaminya turut memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga pengarah keselamatan yang aktif dalam aktiviti jenayah di Myanmar.
Katanya, syarikat tersebut membantu membina pusat kegiatan scammer dan pemerdagangan manusia di salah sebuah kawasan yang dikenali sebagai KK Park di bandar Myawaddy yang dikawal rapi serta mempunyai tembok pagar yang tinggi.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya perkara ini dapat dibendung sebelum menjadi lebih parah demi menjaga keselamatan rakyat serta nama baik negara,” katanya.