Ahli perniagaan China mati lemas di Tanjung Jara.
Seorang ahli perniagaan dari China ditemui lemas ketika mandi di pantai Tanjung Jara, dekat sini, hari ini.
Guo Lei, 55, dari Shanghai, dikatakan mandi di pantai itu kira-kira jam 11.30 pagi sebelum lemas.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir mangsa bersama sembilan ahli keluarganya termasuk menantu bercuti ke negara ini dan menginap di sebuah hotel di situ.
Katanya ketika kejadian, mangsa dikatakan mandi bersama menantunya yang berusia 34 tahun.
“Ketika mandi, mangsa dipercayai dipukul ombak besar dan hanyut ke tengah laut sebelum lemas.
“Menantu mangsa cuba untuk membantu tetapi tidak berjaya kerana kedudukan mangsa jauh dalam jarak kira-kira 30 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Maizura berkata, tidak lama selepas itu, mangsa ditemukan timbul di pesisir laut sebelum menantu mangsa dibantu pekerja hotel bertindak membawanya ke darat.
“Mangsa diberi bantuan pernafasan bagaimanapun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal.
“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun,” katanya.