Ahli Parlimen PN cadang hotel GISBH di Langkawi dijadikan muzium ajaran sesat.
Isu kegiatan organisasi atau syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Malaysia, dengan terbaru, seorang ahli parlimen mencadangkan agar hotel-hotel milik mereka diambil alih untuk dijadikan muzium ajaran sesat.
Pendedahan mengenai organisasi ini sejak dua bulan lalu telah menarik perhatian banyak pihak, termasuk pemimpin tertinggi negara, apabila beberapa negeri seperti Perlis dan Pahang mengisytiharkan ajaran serta amalan yang dibawa oleh GISBH sebagai sesat. Kini, cadangan terbaru yang agak kontroversial dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi, yang tular di laman TikTok.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil alih hotel milik GISBH yang terletak di Langkawi, Kedah, dan mengubahnya menjadi muzium ajaran sesat.
Menurut Suhaimi, langkah ini bukan sahaja berfungsi sebagai rujukan kepada pelbagai ajaran sesat yang ada di dunia, tetapi juga sebagai pusat pendidikan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, terutamanya golongan muda.
Cadangan Mohd Suhaimi ini disuarakan ketika Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 5 November lalu.
Suhaimi menegaskan bahawa muzium ini bakal memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan dan rujukan kepada masyarakat umum tentang bahaya ajaran sesat, melangkaui batasan agama.
@anwaribrahimfansofficial Convert hotel GISB kepada muzium agama sesat cadang MP Parlimen #fypage #langkawi #politik #CapCut ♬ original sound – AnwarIbrahimFansOfficial
Menurutnya, tiada muzium yang khusus mengenai ajaran sesat di Malaysia.
“Saya cuba cari muzium yang merujuk kepada ajaran sesat, tapi tiada yang fokus pada ini. Yang ada hanya muzium Drakula di Romania atau England. Sedangkan dalam dunia ini ada pelbagai kes ajaran sesat yang melibatkan pelbagai agama,” katanya.
Cadangan ini juga dilihat berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan yang unik, terutamanya di Langkawi yang terkenal sebagai destinasi popular pelancong tempatan dan antarabangsa.
Untuk rekod, GISB Holdings atau Global Ikhwan Service and Business Holdings menjadi tumpuan apabila CEO syarikat itu, Datin Azura Md Yusof, suaminya Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari (anak bekas pengasas Al-Arqam), dan 19 pemimpin tertinggi GISBH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Mereka didakwa terlibat dalam aktiviti kumpulan jenayah sejak 2020.
Pendedahan ini telah membuka mata rakyat Malaysia terhadap pengaruh ajaran dan amalan organisasi ini.
Susulan siasatan tersebut, operasi serta premis yang dikaitkan dengan GISBH kini dihentikan dan ada yang dilaporkan terbiar begitu sahaja.