Ahli farmasi Malaysia dibunuh gelandangan di Melbourne.
Seorang ahli farmasi warga Malaysia dibunuh di timur laut Melbourne, Australia pada Rabu lalu. The Sun melaporkan mayat Leong Kum Chuan, 29 tahun, yang dikenali sebagai KC, ditemui dengan kesan beberapa tikaman di unit kediamannya di blok pangsapuri Bellfield, berhampiran Ivanhoe, setelah rakan-rakannya membuat aduan.
Hasil pemeriksaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) membawa kepada penahanan suspek, seorang gelandangan bernama Simon Hunter, 54 tahun, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Hunter, yang didakwa menghidap skizofrenia, menghadapi dakwaan membunuh di Mahkamah Majistret Melbourne, sehari selepas insiden yang menggemparkan itu.
Sepanjang perbicaraan melalui sidang video, Hunter yang tampil tanpa pakaian jelas kelihatan gelisah dan turut menjerit seperti orang yang hilang kawalan. Majistret Tara Hartnett kemudiannya memutuskan perbicaraan seterusnya akan diadakan pada 14 Januari depan.
Ketika ini, media sosial rakan-rakan mangsa dibanjiri ucapan takziah atas pemergian KC, yang baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dan telah berkhidmat di Melbourne’s Eastern Health sejak 2021.
“Kami banyak memori bersama ketika bekerja selama tiga tahun di hospital yang sama. Dia seorang yang bijak, berperwatakan lucu, dan rakan yang baik,” kata sahabatnya yang dikenali sebagai Joshua.
Difahamkan, keluarga KC tiba di Melbourne pada hari Khamis, tetapi tidak menghadiri perbicaraan tersebut.