Adik Shah Firdaus gesa netizen henti serang pelumba Jepun, sebak lihat abang kemalangan.
Netizen Malaysia mula ‘menyerang’ laman sosial pelumba Jepun, Shinji Nakano, susulan video yang memperlihatkan kemalangan antara dia dan pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom pada malam Ahad lalu.
Henti Serang Pelumba Jepun
Namun, adik kepada Shah Firdaus, Ridwan Sahrom, tampil menggesa netizen agar berhenti menyerang media sosial milik pelumba Jepun tersebut.
Menerusi hantaran di media sosial, Ridwan beranggapan bahawa segalanya telah terjadi dan tidak perlu menyalahkan atau menunding jari kepada pihak lain.
“Kepada semua peminat sukan Malaysia, tolong jangan serang negara lain berkaitan kemalangan dalam final keirin Sukan Olimpik yang melibatkan Shah dan pelumba Jepun.
“Dalam perlumbaan keirin, segalanya boleh berlaku, kita tidak boleh menyalahkan atau menghakimi apa yang berlaku, sama ada ia satu kemalangan atau tidak.
“Tolong kekal tenang dan jangan menyerang atau meninggalkan komen yang buruk di media sosial pelumba Jepun itu,” katanya.
Pelumba Jepun itu terlibat dalam kemalangan bersama Shah Firdaus dalam final acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis pada malam Ahad.
Tak Dapat Tahan Sebak
Dalam pada itu, menerusi video kiriman wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Ridwan kelihatan tidak dapat menahan sebak melihat pengakhiran abangnya dalam edisi kali ini.
“Saya tahu apa yang dia mahukan di Paris, sayangnya ia tidak berlaku,” katanya.
Pelumba berusia 32 tahun itu berjaya lolos ke final meskipun penyingkiran Datuk Azizulhasni Awang dan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih pingat buat kontinjen negara.
Namun, di selekoh terakhir, berlaku insiden yang tidak diingini apabila Shah Firdaus terjatuh susulan pelanggaran dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano, dan Jack Carlin dari Great Britain.
Pelumba berusia 28 tahun itu kemudian bangkit untuk meneruskan perlumbaan dan menamatkannya di tempat keempat. Bagaimanapun, keputusannya dibatalkan, menyebabkan Shah Firdaus menamatkan saingan di tempat keenam.
Pingat emas dimenangi oleh pelumba pilihan dari Belanda, Harrie Lavreysen, diikuti dua pelumba Australia, Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer.