Adik jadi saksi guru mengaji paksa kakak masuk bilik air.
Seorang guru mengaji dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, pada Ahad, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya di dalam bilik air di sebuah pusat mengaji di Batu Pahat, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Amir Syahmi Manat, 23, yang menghadapi dua pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya yang berusia lapan tahun di sebuah pusat mengaji di Batu Pahat, pada jam 6.30 petang, 21 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Adik Jadi Saksi
Berdasarkan laporan yang dibuat, kejadian berlaku ketika mangsa bersama adik perempuannya yang berusia enam tahun sedang mengaji di pusat tersebut.
Ketika itu, terdapat tiga murid termasuk seorang lelaki, namun tertuduh telah meminta murid lelaki itu pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum meninggalkan dua beradik tersebut.
Tertuduh kemudian membawa mangsa ke dalam bilik air, dan kejadian itu turut disaksikan oleh adik perempuannya. Bagaimanapun, tertuduh tidak membenarkan adik mangsa masuk ke dalam bilik air, sebaliknya meminta dia menunggu di luar.
Semasa di luar, adik mangsa terdengar suara kakaknya berkata “tak nak” dari dalam bilik air sebelum melihat kakaknya keluar bersama tertuduh.
Adik mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada ibunya sambil menangis, sebelum ibunya bertindak membuat laporan di Balai Polis Sri Gading pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ariff Marzuki, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin tertinggi terhadap tertuduh serta menetapkan dua syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan 8 Oktober ini untuk serahan dokumen.
Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Yong Peng pada setiap awal bulan serta tidak dibenarkan mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga prosiding selesai.