Abang Mat tak sangka ada yang berminat, peti ais RM20k akhirnya terjual.
Niat asal Mohamad Azli Bidin memuat naik video bersama peti ais lamanya hanyalah untuk berkongsi di TikTok. Namun, siapa sangka, ada individu yang berminat sehingga sanggup membelinya pada harga RM20,000.
Akhirnya, Mohamad Azli, 43, melepaskan juga peti ais kesayangannya yang berusia lebih 40 tahun itu.
Perkongsiannya di TikTok mengenai peti ais tersebut meraih lebih 1.5 juta tontonan dengan pelbagai reaksi daripada warganet.
Berkongsi kisah lanjut, Mohamad Azli yang merupakan pembuat jamu herba, pekebun, dan usahawan berkata, peti ais jenama ‘Singer’ itu masih berfungsi serta mempunyai nilai sentimental kerana dia membesar dengannya.
“Usia peti ais itu kini mencecah 42 tahun. Ia hanya mempunyai satu pintu, dan kalau tak silap saya, arwah ayah membelinya pada harga kira-kira RM300.
“Umur saya pun hampir sebaya dengan peti ais itu. Ia bukan sekadar barangan lama, tetapi saksi kepada perjalanan hidup serta simbol usaha saya untuk keluar daripada kesusahan.
“Boleh dikatakan, ia antara barangan paling saya sayangi. Saya sekadar berkongsi video menjual peti ais itu pada harga RM20,000 sebagai satu content untuk mengimbau nostalgia lama. Tak sangka pula ada yang benar-benar serius mahu membelinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohamad Azli, dalam tempoh kurang sehari selepas dimuat naik, video tersebut mendapat tontonan tinggi hingga menjadi tular di TikTok.
“Ramai yang menghantar mesej (DM), dan ada tiga individu menyatakan minat untuk membeli peti ais itu.
“Saya menjualnya kepada seorang lelaki dari Melaka yang juga pengumpul barangan antik kerana dia yang pertama menghantar mesej.
@abang_mat2023 Hidup di kampung penuh cabaran, namun dengan ketabahan dan semangat, kita mampu menghadapinya. Setiap ujian adalah langkah menuju kejayaan, dan Allah sentiasa bersama kita. Terus berdoa dan percayalah, setiap kesukaran akan ada jalan keluar. #inspirasidariabangmat #jhjk #tiktokmalaysia #fyp ♬ Dealova Piano – DNP
“Lelaki itu juga bersetuju dengan harga jualan tanpa sebarang tawar-menawar, malah terus datang mengambil peti ais pada hari yang sama. Saya melepaskan peti ais itu bukan kerana perlukan wang, tetapi saya berharap ia dapat mencipta nilai di tempat lain dengan pemilik baharu,” katanya.
Mohamad Azli turut berkongsi bahawa sebahagian hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membantu individu yang memerlukan.
Mengenai reaksi warganet, Mohamad Azli berkata, dia menerima segala pandangan yang diberikan, sama ada positif atau negatif.
“Saya baca juga komen yang diberikan. Ada yang positif kerana memahami nilai barangan lama.
“Tapi, ada juga yang mengecam dan menganggap saya ‘gila’ kerana menjual peti ais yang dianggap buruk pada harga yang tidak masuk akal.
“Saya okey saja kerana saya faham setiap orang mempunyai pandangan berbeza. Barangan lama memang ada peminatnya tersendiri, dan buktinya, peti ais itu sudah pun terjual,” katanya.