Abai ibu bersalin sehingga meninggal dunia untuk keluar minum, doktor pakar diarah bayar ganti rugi RM6 juta

Photo of author

By Syima Iza

Abai ibu bersalin sehingga meninggal dunia untuk keluar minum, doktor pakar diarah bayar ganti rugi RM6 juta.

Dua doktor dengan pengalaman lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan, termasuk mengendalikan 8,500 kes bersalin, telah didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar untuk keluar minum.

Memetik Berita Harian, Mahkamah Tinggi Klang memutuskan bahawa Dr. M Shanmugam dan Dr. A Ravi bersama jururawat Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa, serta Nessy Yasah perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita.

Abai ibu bersalin sehingga meninggal dunia untuk keluar minum, doktor pakar diarah bayar ganti rugi RM6 juta

Keputusan ini dibuat dalam kes kecuaian perubatan yang menyebabkan kematian mangsa semasa menerima rawatan.

Punita, 36 tahun, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr. Shanmugam pada 9 Januari 2019. Beliau mengalami pendarahan selepas bersalin (PPH) selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.

Dr. Ravi memberi jaminan bahawa keadaan Punita stabil dan menyerahkan mangsa kepada tiga jururawat tidak berdaftar untuk memantau keadaannya sebelum keluar minum. Dr. Shanmugam turut meninggalkan bilik bersalin dan menyerahkan tanggungjawab kepada jururawat tersebut.

Namun, apabila ibu Punita memasuki bilik bersalin, beliau mendapati anaknya mengalami pendarahan yang banyak. Jururawat hanya cuba menghentikan pendarahan menggunakan kapas, manakala kedua-dua doktor tidak hadir pada saat genting tersebut.

Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak dan pembekuan intravaskular diseminata (DIVC). Meskipun usaha menyelamatkan nyawa dilakukan melalui pembedahan kecemasan dan pemindahan darah, Punita meninggal dunia, meninggalkan dua anak kecil.

Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norliza Othman, menyatakan bahawa kedua-dua doktor gagal bertindak segera serta menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang lebih sesuai untuk menangani kecemasan sedemikian.

“Walaupun mereka berpengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi bersalin seperti eklampsia atau masalah plasenta yang menyebabkan PPH. Mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan keadaan pesakit stabil dan menyerahkan tanggungjawab kepada jururawat yang tidak mempunyai kelayakan,” kata beliau.

Hakim Norliza menegaskan tragedi ini boleh dielakkan sekiranya doktor bertindak pantas dan memantau keadaan pesakit dengan lebih teliti.

Baca Juga:
Ini 10 negara mempunyai internet ‘Mobile’ paling laju di dunia
“Raya awal kau dik”- Remaja 16 tahun dapat RM200k dalam pertandingan memancing
Ini 5 tempat paling busuk di dunia