5 termasuk kerabat diraja Pahang diheret ke Mahkamah

Photo of author

By Syima Iza

5 termasuk kerabat diraja Pahang diheret ke Mahkamah.

Kerabat diraja Pahang, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pada bulan Jun yang lalu.

Pertuduhan ini dibuat kira-kira dua bulan selepas Malaysiakini melaporkan dakwaan serangan terhadap pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, Alias Awang, 44 tahun.

5 termasuk kerabat diraja Pahang diheret ke Mahkamah

Tengku Eddie Akasya, anak kepada Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dituduh bersama empat orang lain iaitu Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39 tahun; Mohd Fouzi Md Nur, 44 tahun; Mohd Taufik Daud, 44 tahun; dan Khairul Azhar Rosli, 38 tahun. Tengku Abdul Rahman ialah adik kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Salah seorang tertuduh, Mohd Fouzi, bertugas sebagai anggota polis.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan, menurut laporan media.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencederakan paha Alias menggunakan pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, pada 6 Jun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Pahang, Shahrizat Ismail, di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Pada 5 September lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu didakwa menyerang dan mencederakan Alias menggunakan pisau. Nama Tengku Eddie tidak didedahkan pada waktu itu kerana beliau belum didakwa di mahkamah.

Alias mendakwa bahawa seorang rakan kerabat menikam pahanya, manakala kerabat itu pula melepaskan tembakan ke arah kakinya tetapi tersasar.

Bapa kepada lapan orang anak itu mendakwa serangan tersebut berlaku susulan pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin, di mana beliau terlibat dalam kerja pembinaan jalan.

Sebelum ini, polis menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan dari setiap sudut, namun tidak mengesahkan sama ada siasatan turut melibatkan penggunaan senjata api.

Kes ini turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang menggesa agar polis bertindak tegas kerana tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang, termasuk kerabat diraja.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan memohon agar jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh. Pihak pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan supaya kesemua tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Permohonan pengurangan jaminan, masih ditanggung ibu bapa

Peguam bela, Y Sheelan, memohon agar jaminan minimum dalam lingkungan RM5,000 dikenakan ke atas Tengku Eddie Akasya dengan alasan beliau masih ditanggung oleh ibu bapa. Sheelan turut memohon jumlah yang sama untuk Nik Norhisham Affendi dan Khairul Azhar yang bekerja sebagai penternak lembu.

Peguam Mohammed Badrulzzaman yang mewakili Mohd Fouzi pula memohon jaminan rendah untuk anak guamnya yang menyara isteri dan anak yang masih bersekolah.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Tarikh 11 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Baca Juga:
Lelaki tuntut pampasan RM1.3 juta kepada kerajaan berkaitan nombor plat MADANI
Ini punca bagaimana penumpang boleh terkena renjatan elektrik dalam bas
Kucing jalanan Malaysia bernama ‘baby’ jadi juara dunia