4 selebriti ini mampu miliki kereta mewah pada usia sangat muda.
Khalayak maklum bahawa untuk bergelar seorang selebriti dan seterusnya mempertahankan populariti bukanlah perkara mudah.
Jika sekadar mempertaruhkan rupa menawan tanpa bakat yang mantap, sudah tentu populariti akan menurun dan berisiko untuk lenyap daripada industri seni.
Pun begitu, jika kena dengan caranya dan seiring pakej yang dimiliki, sudah tentu bukan sahaja kemasyhuran akan datang mendadak, tetapi juga deretan tawaran akan hadir seperti magnet dengan bayaran yang lumayan.
Berkat usaha keras, ramai artis tempatan yang mampu menjana pendapatan mencecah enam angka sebulan menerusi hasil kerja keras mereka dalam bidang lakonan, nyanyian, mahupun menjadi duta produk.
Maka tidak hairan sekiranya ramai pemain seni tanah air mampu memiliki kereta mewah berharga ratusan ribu bahkan ada yang mencecah jutaan ringgit.
Gala minggu ini menampilkan beberapa selebriti yang mampu memiliki kereta mewah pada usia yang sangat muda.
Meerqeen
Siapa tidak kenal dengan aktor kacak, Meerqeen yang sedang hangat dalam industri seni ketika ini. Mana tidaknya, hampir semua drama fenomena ‘menggunakan’ wajahnya sebagai watak utama.
Tahun lalu, pemilik nama penuh Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu membeli kereta mewah jenis Mercedes-Benz model G-Class (G-Wagon) yang bernilai sekitar RM1.3 hingga RM1.4 juta seunit pada usia 22 tahun. Kejayaan tersebut mampu menyuntik inspirasi kepada ramai anak muda termasuk artis seperjuangannya untuk terus berusaha merealisasikan impian masing-masing.
Rezeki mencurah-curah hasil kerja keras, tahun ini pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu sekali lagi mencapai kejayaan peribadi apabila membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda Mercedes-Benz model C63 yang dianggarkan bernilai RM600,000.
Masya Masyitah
Tidak ketinggalan dalam senarai Gala minggu ini, penyanyi sensasi Masya Masyitah yang membeli sebuah kereta mewah model Porsche 718 Cayman yang dianggarkan bernilai RM700,000.
Menariknya, kereta berkenaan dimiliki pelantun lagu Hapus itu semasa dia baru sahaja berumur 22 tahun.
Menyuntik inspirasi kepada rakan sebaya, pemilik nama lengkap Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff itu sempat memberikan kata-kata semangat bahawa tiada yang mustahil di dalam dunia ini dan apa sahaja boleh dilakukan dengan yakin.
Bukan hanya itu, nama Masya sebelum itu pernah meledak apabila berjaya membeli sebuah kondominium berharga RM300,000 secara tunai ketika berusia 19 tahun.
Ezzanie Jasny
Tahun ini juga merupakan momen terindah buat pelakon Ezzanie Jasny yang berjaya membeli kereta jenama Mercedes-Benz yang dianggarkan bernilai RM150,000, hasil titik peluh sendiri pada usia 24 tahun.
Berita gembira yang dikongsi dalam laman sosialnya itu dapat menyuntik semangat anak muda lain supaya gigih berusaha demi mengejar impian.
Pun begitu, pemilik nama penuh Nur Ezzanie Sherazade Jasny itu enggan berasa selesa dengan pencapaian diri, sebaliknya bekerja lebih keras demi mencapai impian mengumpul aset.
Kata pelakon drama Layang Layang Perkahwinan itu, dia kini berhempas-pulas mencari rezeki bagi merealisasikan hajat membeli kediaman sendiri pada tahun hadapan.
Wani Kayrie
Lama memendam impian, penyanyi Wani Kayrie akhirnya berjaya membeli sebuah kereta idaman iaitu Mercedes-Benz CLA180 bernilai RM192,000 pada usia 22 tahun, dua tahun lalu.
Kata pemilik nama lengkap Syazwani Syafirah Abdullah yang kini sudah berusia 24 tahun, dia mengambil masa selama setahun mengumpul wang untuk memiliki kereta tersebut.
Selepas mendapat kereta idamannya, penyanyi lagu Jangan Terlepas Pandang itu berkata, ‘hadiah’ tersebut merupakan penguat semangatnya untuk lebih berusaha mencari rezeki dan memberi yang terbaik bukan sahaja untuk dirinya, bahkan juga keluarga.
Paling penting, Wani menyifatkan pembelian kereta tersebut bukan untuk menunjuk-nunjuk mahupun sebagai bukti telah berjaya, sebaliknya menggunakan kereta itu untuk memudahkan kerja sehariannya sebagai anak seni.