4 rakan sekerja rentung, 1 selamat kereta terbabas

Photo of author

By Syima Iza

4 rakan sekerja rentung, 1 selamat kereta terbabas.

Polis mengesahkan kereta Proton Saga Iswara yang dinaiki lima rakan sekerja yang terbabit kemalangan di kilometer 220 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, di sini petang tadi terbabas sendiri sebelum terbakar.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata apabila sampai di tempat kejadian, disyaki pemandu yang berumur 56 tahun hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan.

4 rakan sekerja rentung, 1 selamat kereta terbabas

Kereta itu kemudiannya terbalik masuk ke dalam longkang di bahu kiri jalan hingga menyebabkannya hangus terbakar.

“Empat mangsa yang rentung terbakar adalah pemandu, penumpang hadapan berumur 50 tahun serta dua penumpang belakang masing-masing berumur 45 dan 53 tahun. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Seorang penumpang belakang berumur 54 tahun mengalami cedera parah sudah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

Katanya, polis menerima maklumat berkaitan kemalangan itu jam 5.20 petang, kira-kira lima minit selepas kejadian.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara dari Pangkalan TLDM Lumut melalui Tol Sitiawan Utara menghala ke Ipoh.

Proses bedah siasat ke atas mayat akan dilakukan jam 10 pagi esok di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693.

Baca Lagi:
‘Musuh pasang perangkap’ punca Sanusi tak hadir ceramah mega Perikatan Naisonal di Sungai Petani
Makcik dakwa Umno kafir itu sudah nyanyuk dan keluarga minta padamkan video – Nik Amar
Rahsia Batu KM 0 dekat pejabat Pos yang masih ramai tak tahu