4 Maut selepas hadir konsert Pinkfish di Sunway jadi tanda tanya.
Empat individu dilaporkan maut selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown sempena sambutan Tahun Baharu 2025 di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada malam Selasa.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut beliau, pihak polis menerima empat laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita warga tempatan.
“Hasil siasatan mendapati, keempat-empat si mati telah menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember.
“Post-mortem telah dijalankan pada 1 Januari (Rabu), dan punca kematian masih menunggu hasil makmal.
“Pemeriksaan ke atas semua si mati, yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun, mendapati tiada kecederaan luaran dikesan,” katanya.
Tambah beliau, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan dalam insiden ini.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat, Sjn Mohd Ridzal Puat, di talian 03-56382122 atau pusat kawalan daerah di talian 03-78627222.