4 hari terperangkap bawah runtuhan, ayat kursi jadi pendinding kami sekeluarga. “Selama empat hari terperangkap di bawah runtuhan tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman, kami hanya mampu berdoa, berdoa dan berdoa supaya dapat diselamatkan terutamanya tiga anak kami.
“Sungguh Allah SWT itu Maha Berkuasa, ketika saya dan isteri tidak lagi mempunyai kudrat untuk bertahan, sehinggakan tidak mampu berkata-kata, tiba-tiba terdengar bunyi pasukan keselamatan berhampiran kawasan kami terperangkap,” kata Osman Colak, 34.
Osman bersama isteri dan tiga anaknya termasuk bayi berusia dua bulan antara mangsa gempa bumi yang terselamat walaupun berada di bawah runtuhan bangunan selama empat hari.
Pemuda itu ditemui penulis di kawasan runtuhan akibat gempa di wilayah ini ketika misi bantuan Turkiye-Syria Muslim Care Malaysi (MCM).
Menceritakan detik mencemaskan itu, Osman berkata, kejadian berlaku sekelip mata hingga memusnahkan kediamannya serta hampir keseluruhan bangunan di situ.
“Ia berlaku dengan begitu pantas menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat melarikan diri apatah lagi dengan keadaan bayi kami yang masih kecil.
“Kami terperangkap, hanya mampu menjerit meminta bantuan, namun jeritan bukan daripada kami sahaja, tetapi terdapat ramai lagi yang menjerit meminta bantuan.
“Hanya Allah sahaja yang tahu ketika itu. Ayat kursi menjadi pendinding saya, (apatah lagi) rumah saya berada di aras paling bawah,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, semua ahli keluarganya termasuk tiga anak berada di dalam bilik kerana sedang tidur.
“Rumah yang kami diami ialah pangsapuri empat tingkat dan berada di tingkat paling bawah sekali menyebabkan kami terperangkap teruk, malah gagal untuk keluar.
“Kami hanya mampu bercakap sesama sendiri, anak-anak menangis kelaparan, saya sentiasa menyebut nama mereka bagi memastikan mereka menyahut panggilan saya kerana keadaan terlalu gelap,” katanya.
Menurut Osman, bayinya yang berusia dua bulan berada di sisi isterinya dan mengalami kecederaan di tangan kanan.
“Masuk hari keempat kami mendengar jeritan dari luar memanggil adakah sesiapa yang masih hidup di dalam bangunan.
“Kami menyahut dan membalas jeritan itu, saya minta anak-anak menangis bagi memberi tanda ada lagi mangsa yang terselamat di bawah runtuhan ini.
“Saya bersyukur pasukan penyelamat berjaya menemui kami, saya tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi anak saya dirawat di hospital,” katanya yang memberitahu mereka mengalami trauma teruk malah isterinya meminta berpindah dari kawasan itu.
Menurutnya, dia sudah menghantar isteri dan anaknya ke wilayah lebih selamat, manakala dia masih di kawasan itu kerana ramai ahli keluarga lain yang masih terperangkap dan berharap mereka ditemui.
Baca Lagi:
Berbulan gaduh dengan suami, sekali aku cek phone dia, aku jumpa sesuatu tentang diri aku…
Bantahan terhadap petisyen calon BN ditolak, mahkamah arah Hadi bayar RM20,000