“4 beradik semua ikut jejak jadi tentera Malaysia, rupanya ini rahsia didikan hebat ayah Lt Kdr Chan”.
Semasa kecil, kita sering ditanya tentang cita-cita. Ada yang ingin menjadi doktor, jurutera, pengacara, dan pelbagai lagi kerjaya yang diimpikan. Sudah tentu, ramai juga yang bercita-cita untuk menjadi tentera, ahli bomba, atau polis.
Apabila berbicara mengenai kerjaya sebagai tentera, kita sering kali membayangkan aktiviti masuk hutan, berkawad, dan sentiasa mengangkat senjata dengan wajah yang berceloreng. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa tugas dalam ketenteraan bukan hanya terhad kepada itu.
Sebenarnya, terdapat pelbagai tugas lain seperti yang wujud dalam kehidupan orang awam, termasuklah sebagai doktor, jurutera, atlet, dan juga chef.
Tahukah anda, di sebalik uniform celoreng dan senapang, terdapat pelbagai hakikat tugas pegawai tentera yang jarang diketahui ramai?
Di sinilah bermulanya Kempen Tabik Wira Kita, yang diilhamkan oleh salah seorang pelakon filem Mat Kilau, Fattah Amin. Kempen ini dilancarkan bagi mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menzahirkan penghargaan kepada wira-wira negara yang jarang diperkatakan.
Menerusi kempen ini, pengalaman menarik pegawai-pegawai tentera dikongsikan, yang mana mereka bukan sahaja bergelar askar, tetapi juga jurutera, polis tentera, dan pegawai media.
Lt Kdr Ts. Chan: Jurutera Berdarah Pejuang
Lt Kdr Ts. Chan Jun Shen TLDM, Pegawai Jurutera Udara di Pejabat Prestasi Kontrak Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), merupakan seorang jurutera yang dibesarkan dalam komuniti tentera.
Jika tidak diperkenalkan namanya, ramai yang mungkin menyangka beliau berbangsa Melayu kerana kefasihannya berbahasa Melayu.
Chan memegang prinsip yang ditanam oleh bapanya, Laksamana Muda Dato’ Chan Peng Cheong, yang sangat menekankan disiplin, termasuk menghormati budaya lain dengan tidak bercakap dalam bahasa Cina ketika berkunjung ke rumah orang Melayu. Prinsip ini membentuk dirinya sejak kecil hingga kini.
Dibesarkan dalam persekitaran tentera, Chan melihat kerjaya ayahnya yang bermula sebagai Pegawai Muda sehingga menjadi seorang Laksamana.
Walaupun pada mulanya beliau menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) atas kehendak bapanya, akhirnya Chan sedar bahawa dirinya memang ditakdirkan untuk berkhidmat demi negara.
Dengan kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum, serta ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Chan yakin bahawa kerjaya ini adalah jalannya.
Kini, beliau berkhidmat dalam Cawangan Udara TLDM yang mengoperasikan aset udara untuk menyokong operasi maritim armada.
Lt Tanalaksiumy Mahenthiran Rayer: Bekas Peragawati Berjiwa Srikandi
Lt Tanalaksiumy, seorang bekas peragawati dan atlet olahraga negara, kini bertugas di 104 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD). Berasal dari Pulau Pinang, beliau pernah mewakili negara dalam acara pecutan 4 x 400 meter sebelum membuat keputusan untuk terus berkhidmat kepada negara melalui kerjaya ketenteraan.
Beliau kini menguruskan pengiring bermotor bagi Menteri Pertahanan serta pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Bagi Lt Tanalaksiumy, kerjaya dalam ketenteraan adalah satu pengorbanan besar yang memerlukan keutamaan dalam tugas, meskipun perlu mengetepikan masa bersama keluarga.
Dengan ijazah dalam Perhubungan Awam dari HELP University, beliau menggalas tanggungjawab menyelesaikan pelbagai masalah dalam tugas sehariannya.
Lt Mikaail Aiman Adam Muniz: Leftenan Muda TUDM Berjiwa Patriotik
Lt Mikaail Aiman Adam Muniz, yang dahulunya bekerja sambilan di dewan bankuet, kini seorang Leftenan Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Meskipun berasal dari Kuala Lumpur, beliau tidak kekok menyesuaikan diri dalam kehidupan ketenteraan yang memerlukan disiplin tinggi.
Beliau melalui latihan intensif selama sembilan bulan untuk mempersiapkan dirinya menghadapi kehidupan dalam ketenteraan.
Lt Mikaail yakin bahawa, meskipun negara berada dalam keadaan aman, latihan tetap penting untuk memastikan kesiapsiagaan ATM dalam menjaga kedaulatan ruang angkasa negara.
Setiap pengalaman dan latihan yang dijalaninya membuktikan bahawa ketenteraan bukan sekadar tugas di medan perang, tetapi juga melibatkan pelbagai aspek yang tidak pernah kita bayangkan.
Kesimpulannya, kerjaya sebagai tentera bukan sahaja melibatkan senjata dan peperangan, tetapi juga terdapat pelbagai tugas lain yang setanding dengan kerjaya orang awam. Mereka adalah wira yang berkorban demi memastikan keselamatan dan keamanan negara kita.