Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berkunjung ke rumah bekas gurunya, Ustazah Salmah Abu Bakar, 84, di Cherok Tok Kun Bawah selepas selesai menghadiri Majlis Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, di sini, hari ini.
Anwar meluangkan masa hampir 20 minit bertanya khabar kepada Salmah yang juga guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) beliau ketika menuntut di Madrasah Al Itihadiah Al Wataniah selama tiga tahun semasa sekolah rendah.
Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, turut berbual santai bersama ahli keluarga dan jiran tetangga Salmah sebelum beredar pada 11.50 pagi.
Salmah, ketika ditemui pemberita, melahirkan rasa syukur, terharu, dan lega selepas akhirnya dapat bertemu anak didiknya selepas puluhan tahun tidak bersua wajah memandangkan sebelum ini hanya berpeluang berbual melalui telefon. “Selama 31 tahun mengajar, belum pernah saya jumpa anak murid macam Anwar. Saya pernah kata pada dia, suatu hari nanti dia akan jadi pemimpin. Rasa sebak, terkejut, dan rasa tidak percaya pun ada bila dia telefon kata nak mai (datang) melawat.
“Alhamdulillah, masa jumpa tadi, saya kata sebagai pemimpin kena ada tiga sifat (iaitu) jujur, amanah, dan ikhlas. Insya-Allah, selagi ada hayat, saya tak lupa pada Anwar dan doa (jadi) tolong kekal jangan lari, pegang yang di atas… Allah kata reda, jalan terus.
“Selepas itu Perdana Menteri kata terima kasih bagi semangat kepadanya jadi saya rasa lapang sangat setelah dapat meluahkan apa yang terbuku di hati,” ujarnya.
Mengimbau kenangan mengajar Anwar yang ketika itu berada di tahun 4 hingga 6 sebelum melangkah ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, Salmah menyifatkan anak muridnya itu seorang yang cerdas, teliti, rajin bertanya, dan tidak kedekut berkongsi makanan dengan rakan-rakannya.
“Ketika itu saya mengajar hampir semua (subjek) termasuk tauhid, al-Quran, bahasa Arab, sirah, tajwid, dan fekah, jadi saya rapat dengan semua anak-anak murid yang saya anggap macam anak sendiri.
“Saya juga tegas, tidak terkecuali kepada Anwar memang pernah kena cubit tetapi apabila saya silap menanda kertas ujiannya dia datang jumpa beritahu jadi saya mengaku silap dan markahnya memang selalu tinggi,” katanya.
Salmah bersara sebagai guru KAFA pada tahun 1996.