3 sebab kenapa tayar ganti lebih kecil daripada tayar biasa. Anda mungkin sudah tahu tayar ganti yang dibekalkan pengeluar tidak sama saiz dengan empat tayar lain. Tayar ganti itu, yang juga dipanggil tayar donat, lazimnya menggunakan rim kuning atau hitam dan bersaiz lebih kecil atau kurang lebar. Namun, ia tetap bergantung kepada model kereta anda.
Kenapa tidak berikan saja tayar bersaiz asal? Bukankah mudah gantikan terus jika berlaku insiden tayar pancit? Ada 3 sebab kenapa kereta anda diberikan tayar ganti bersaiz kecil:
1. JIMAT RUANG
Faktor paling utama kenapa tayar donat memiliki diameter kecil dan kurang lebar adalah untuk menjimatkan ruang. Ini memudahkan tayar ganti itu disimpan. Ini penting supaya ruang but dapat dimaksimumkan. Tambahan lagi untuk kereta jenis hatchback yang memiliki luas but terhad.
2. KURANGKAN BERAT KERETA
Tayar donat lazimnya dihasilkan menggunakan material ringan dan ini membantu mengurangkan berat kasar kereta. Saiz rim dan tayar sebenar boleh menambah berat keseluruhan jentera walaupun tidak begitu ketara.
Bagaimanapun, ia tetap memberikan kesan langsung ke atas penggunaan bahan api, termasuk mengurangkan jarak perbatuan. Lebih berat, maknanya kereta akan menggunakan lebih banyak bahan api.
3. KURANGKAN HARGA KERETA
Setiap tambahan material untuk pembuatan komponen kereta akan melibatkan kos dan menyebabkan penambahan harga. Jadi, tayar yang kecil dan rim ringan adalah lebih murah dan sedikit sebanyak mengurangkan kos kereta.
Namun, pemilik harus faham tujuan sebenar tayar donat. Ia cuma tayar ganti dan bukan dibuat untuk dipandu jauh dalam masa lama. Ini kerana saiz tayar berbeza boleh menjejaskan pengendalian dan jajaran roda. Asasnya, tayar donat cuma berfungsi sebayar tayar sementara supaya anda dapat memandu ke kedai tayar untuk menukar atau menampal tayar asal.