3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

Photo of author

By Syima Iza

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum.

Tanpa kita sedari, Malaysia kini telah mencapai 67 tahun kemerdekaan, satu tempoh yang panjang dan penuh makna bagi kita semua. Jika dibandingkan dengan negara lain yang kurang bernasib baik, jelaslah kita sangat bertuah, hidup dalam keadaan yang begitu aman dan sejahtera.

Kita berpeluang menikmati udara segar di bawah langit yang damai, di sebuah negara yang bebas daripada ancaman. Namun, pernahkah kita merenung bahawa di sebalik kedamaian yang kita rasai setiap hari, terdapat wira-wira tanpa nama yang tidak pernah berhenti berjuang untuk memastikan keamanan ini berkekalan?

Hakikatnya, setiap saat ada insan-insan hebat yang bersedia mempertaruhkan nyawa mereka demi negara. Mereka tidak meminta pengiktirafan, tidak juga mengejar populariti. Wira-wira ini adalah pelindung senyap yang berdiri di barisan hadapan, sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman yang boleh meragut kebebasan kita.

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

Di media sosial, kita sering melihat betapa masyarakat negara jiran begitu menghargai dan menghormati perjuangan tentera mereka. Setiap kali wira-wira ini pulang dari misi, sambutan meriah menanti mereka, dengan kehadiran rakan seperjuangan dan ahli keluarga. Bahkan, ucapan “terima kasih” sudah menjadi kebiasaan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa pejuang tanah air kita sendiri juga layak menerima penghormatan yang sama? Adakah kita benar-benar menghargai jasa mereka? Mungkin, sudah tiba masanya untuk kita menyertai cabaran #TabikWiraKita. Luahkan penghormatan kita kepada anggota tentera, mereka yang telah banyak berkorban demi kita semua, termasuk kepada insan yang tidak mereka kenali.

Disebabkan taat setia kepada negara, mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Keluarga adalah salah satu faktor penting dalam kejayaan seseorang, tetapi sebagai seorang tentera, ada masa dan ketika perkhidmatan harus didahulukan daripada keluarga,” kata Chef Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), BK BDI Muhammad Hafiz Md Ali.

“Kami telah bersumpah untuk hidup dan mati demi menjalankan tugas kepada agama, bangsa, dan negara. Perkhidmatan harus menjadi keutamaan dalam diri setiap anggota tentera.

“Sebagai anggota TLDM, setiap hari kami menjalani latihan dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Setiap misi menuntut kami berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang lama,” katanya lagi.

Di samping itu, BK BDI Muhammad Hafiz turut menjelaskan bahawa setiap anggota tentera terikat dengan akta kerahsiaan, yang melarang mereka mendedahkan maklumat walaupun kepada keluarga sendiri.

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

Ketua Rumah Masak Desa Tamu di Markas Pangkalan Lumut ini juga sempat berkongsi pengalaman berharga semasa menyertai Op Daulat.

“Tugas saya sebagai chef tentera tidak kurang pentingnya. Dalam apa jua keadaan, sama ada di tengah lautan bergelora atau di medan tempur, saya tetap perlu menyediakan sajian kepada semua anggota tentera. Ini adalah tanggungjawab kami bagi menjaga moral anggota tentera yang sedang bertugas,” katanya.

Bagaimanapun, meski tugas utamanya adalah sebagai tukang masak, pengalaman terlibat dalam operasi memberikan beliau satu perspektif yang mendalam tentang situasi sebenar apabila keamanan terganggu.

“Pergerakan menjadi sangat terhad dan dikawal ketat. Suasana tersebut benar-benar genting,” katanya.

Tambah BK BDI Muhammad Hafiz, walaupun beliau memfokuskan diri dalam bidang masakan, beliau turut diberikan latihan ketenteraan dan ilmu yang sama seperti anggota tentera lain.

“Meskipun saya memiliki pengetahuan ketenteraan, pengalaman berada di medan tempur telah membuka mata saya tentang perasaan betapa takutnya apabila kawasan kita telah dikuasai oleh musuh,” ujarnya.

Berkorban buat negara bermakna berkorban buat keluarga

Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) merangkap Pegawai Staf 2 Pengurusan Anggota Lain-Lain Pangkat, Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Mej Mohd Shaiful Amir Omar berkata, walaupun tugasnya sering membuatkan beliau berjauhan dari keluarga, beliau bangga dengan pengorbanan yang dilakukan.

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

“Sebagai seorang pegawai Tentera Darat, masa kami lebih banyak dihabiskan dalam operasi. Setelah selesai operasi, barulah kami berpeluang bertemu anak-anak dan isteri. Tempoh ini biasanya sangat panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Dalam situasi ini, isteri dan anak-anak tentera perlu belajar untuk berdikari menjalani kehidupan seharian.

“Inilah harga yang perlu dibayar demi mempertahankan negara tercinta. Saya yakin, anak dan isteri saya memahami tugas saya ini. Saya amat menghargai pengorbanan mereka. Itulah cara mereka turut menyumbang kepada pertahanan negara, dengan menerima saya seadanya.

“Dalam hampir 17 tahun berkhidmat dalam kerjaya ini, itulah hakikat yang perlu diterima sebagai seorang tentera. Bagi pihak keluarga, tidak mudah untuk menerima kenyataan ini, tetapi itulah tuntutan tugas. Jika bukan saya yang berkorban demi negara, siapa lagi yang akan melakukannya?

“Mengenai keluarga, saya akui saya sendiri tidak dapat melihat anak-anak membesar di hadapan mata,” katanya.

Di sebalik pengorbanan mereka, keberanian para tentera pastinya menjadi kebanggaan bukan sahaja bagi keluarga, bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Ketika ditanya mengenai pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatannya, Mej Mohd Shaiful Amir menyatakan bahawa pengalaman bertugas di Lubnan merupakan salah satu yang paling berharga buatnya.

“Salah satu pengalaman paling berharga adalah ketika bertugas di Lubnan dalam Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Malaysian Battalion 850-2 dari tahun 2014 hingga 2015,” katanya.

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

“Dalam misi ini, saya dilantik sebagai ‘Pegawai Staf 3 Gerak (Rancang)’ atau lebih dikenali sebagai Battle Captain, bertanggungjawab merancang jadual rondaan dan aktiviti bersama tentera Lubnan.

“Tugas saya adalah memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang ancaman atau kekangan, terutama dalam aspek komunikasi. Keselamatan dan keamanan sangat bergantung pada kefahaman yang jelas antara semua pihak,” katanya.

Tambahnya lagi, tanggungjawab itu merupakan amanah besar buat dirinya kerana setiap nyawa menjadi ‘taruhan’.

Selain itu, Mej Mohd Shaiful Amir turut mengimbau pengalamannya semasa terlibat secara tidak langsung dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah, pada tahun 2013.

“Pada waktu itu, saya bertugas sebagai juruiring kepada Panglima Medan Tentera Darat (PMTD). Apabila insiden tercetus, PMTD telah bergerak untuk meninjau situasi di Lahad Datu.

“Ketika itu, hanya terdapat satu helikopter yang tersedia untuk operasi, dan ia diutamakan untuk membawa panglima serta beberapa pegawai kanan lain. Dalam situasi itu, saya tiada pilihan lain selain menaiki trak tiga tan yang membawa bekalan peluru kepada anggota barisan hadapan melalui kawasan yang dikenali sebagai ‘black area’.

“Nampak seperti pergerakan biasa, tetapi boleh jadi itulah tugasan terakhir sekiranya kami diserang. Tidak semua orang mampu mengharungi hari-hari sukar dan mencabar itu. Jika leka walaupun sejenak, itu mungkin akan menjadi saat terakhir buat diri saya dan anggota lain yang terlibat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kawasan ‘black area’ itu adalah kawasan berisiko tinggi yang menjadi lokasi ketegangan, di mana penceroboh berusaha menguasai kawasan tersebut. Situasi tersebut memaksanya sentiasa berwaspada sepanjang masa kerana serangan musuh boleh berlaku bila-bila masa.

Dalam pada itu, Pembantu Juruterbang pesawat Airbus A400M dari No. 8 Skuadron Pangkalan Udara Subang dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menghadapi realiti yang sama.

“Sebagai seorang wanita, isteri, dan ibu, perasaan meninggalkan keluarga memang sangat berat. Namun, tanggungjawab terhadap negara adalah lebih utama. Status saya sebagai seorang wanita tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tugas dan tanggungjawab yang telah saya angkat sumpah,” ujarnya.

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

Sering berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang panjang, Kapt Nur Antasha dari TUDM mengakui bahawa setiap misi, operasi, mahupun latihan ketenteraan hadir dengan risikonya tersendiri.

“Namun, inilah jalan yang saya pilih untuk terus berpegang kepada nilai teras TUDM, iaitu ‘Service before self’,” tambahnya.

Kapt Nur Antasha turut berkongsi pengalaman yang tidak akan dilupakannya ketika menerbangkan pesawat Airbus A400M ke Pangkalan Udara Al Maza di Mesir dalam satu misi kemanusiaan. Misi tersebut bertujuan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.

“Dengan pelbagai berita yang tersebar di media sosial, kami sedar bahawa risiko misi ini sangat besar. Situasi di kawasan konflik sentiasa berubah dan ancaman sentiasa ada,” jelas Kapt Nur Antasha. Namun, semangat keberanian dan tanggungjawabnya tidak terhalang oleh perkara itu.

Sebagai anggota ATM, beliau menegaskan bahawa perjuangan mereka bukan hanya terbatas kepada keselamatan negara tetapi juga melibatkan misi kemanusiaan.

“Kami bukan hanya berjuang untuk mempertahankan negara, tetapi juga membantu mereka yang memerlukan. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami sebagai anggota tentera,” tambahnya.

Menurut beliau, tugas seorang anggota tentera bukan hanya untuk berperang, tetapi turut melibatkan penglibatan dalam misi kemanusiaan, membawa harapan kepada mereka yang sedang menderita akibat bencana alam, konflik, dan krisis kemanusiaan yang lain.

“Ini adalah komitmen ATM dalam menyokong keamanan dan kemanusiaan di peringkat global,” katanya.

Bayangkan, jika suatu hari nanti kehidupan tenang dan indah ini tiba-tiba ternoktah tanpa kehadiran mereka yang selama ini menjadi perisai negara. Setiap langkah kita pasti dibayangi ketakutan, di mana kebebasan kita mungkin bertukar menjadi angan-angan. Tanpa mereka, dunia yang kita anggap aman ini pasti akan berubah menjadi ‘mimpi ngeri’.

Ketahuilah bahawa wang ringgit mahupun pengiktirafan tidak dapat menandingi jasa mereka. Mereka adalah wira tanpa lelah yang mempertahankan kedaulatan tanah air, menjadikan negara kita selamat dan aman.

Jadi, mengapa tidak kita bersama-sama memberikan penghormatan kepada mereka?

Mari sertai kami dalam #TabikWiraKita. Ayuh, rakyat Malaysia, sertai cabaran kempen #TabikWiraKita sebagai simbolik tanda penghargaan kepada wira-wira negara yang telah berjasa mempertahankan kedaulatan tanah air.

Melalui penyertaan cabaran ini, kita berpeluang mengungkapkan rasa terima kasih melalui video kreatif berdurasi dua minit di platform media sosial masing-masing. Syarat penyertaan terbuka kepada orang awam sahaja.

Bermula dari 25 September hingga 31 Oktober ini, jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan berkongsi video anda menggunakan hashtag #TabikWiraKita. Ambil peluang ini dengan hati yang terbuka dan penuh rasa syukur. Tunjukkan bahawa kita menghargai setiap pengorbanan mereka dengan #TabikWiraKita.

3 Kisah pegawai tentera Malaysia yang jarang diceritakan kepada umum

Untuk makluman, Kempen Tabik Wira Kita ini telah dimulakan oleh selebriti terkenal, Fattah Amin dengan tujuan membangkitkan rasa bangga terhadap negara serta memberi pengiktirafan kepada ATM.

“Penglibatan saya dalam kempen ini sebenarnya didorong oleh rasa hormat yang mendalam terhadap tentera, terutamanya kerana saya juga berasal dari keluarga beruniform.

“Rasa bangga terhadap mereka yang berkhidmat sebagai tentera telah lama tertanam dalam diri saya,” ujar Fattah Amin.

Menurut Fattah, sumbangannya kepada kempen ini adalah satu bentuk penghargaan dan tanggungjawab sebagai seorang pempengaruh media sosial kepada pertahanan negara.

Dia merasa terpanggil untuk menggunakan platform yang dimilikinya untuk memperluas mesej kempen dan menyebarkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Fattah juga menekankan bahawa ramai orang tidak menyedari bahawa ATM ini tidak terhad kepada tugas bertempur di medan perang sahaja.

“Profesion ketenteraan sebenarnya sangat luas, tetapi kita sering kali tidak nampak atau tidak sedar.

“Selain daripada anggota tentera yang bertugas di barisan hadapan, terdapat ramai lagi wajah-wajah sebalik tabir yang menjadi wira senyap negara,” katanya.

Beliau memberi contoh bahawa selain daripada tentera yang bertempur di medan perang, terdapat juga chef tentera, unit pengurusan media dan pelbagai profesion lain yang menyokong operasi ketenteraan.

“Bukan itu sahaja, mereka tidak hanya bersedia bertempur dengan pihak lawan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Malah, mereka turut menyumbang dalam misi kemanusiaan dan memberikan bantuan semasa bencana alam,” jelas Fattah.

Menutup bicara, Fattah Amin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyertai cabaran kempen #TabikWiraKita sebagai tanda bahawa doa dan semangat kita sentiasa mengiringi pahlawan barisan hadapan negara.

“Mari kita bersama-sama menunjukkan penghargaan kita dan menyokong mereka yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara.

“Kempen ini adalah cara kita untuk menyatakan terima kasih dan menguatkan semangat patriotisme di kalangan kita semua,” katanya dengan penuh harapan.

Baca Juga:
Asal-usul terciptanya payung terjun yang ramai orang tak tahu
Risau hilang kelayakan sebagai ADUN?, Sanusi buat permohonan maaf kali kedua kepada Sultan Selangor
Ramai yang tak tahu, rupanya ada tempat yang boleh tadah air mineral Bubbles O2 secara percuma