2 hari bertarung nyawa, lelaki bantu pengantin baharu kemalangan meninggal dunia

2 hari bertarung nyawa, lelaki bantu pengantin baharu kemalangan meninggal dunia

2 hari bertarung nyawa, lelaki bantu pengantin baharu kemalangan meninggal dunia.

Lelaki yang cedera parah akibat dilanggar ketika membantu mangsa kemalangan yang turut membabitkan sepasang pengantin baharu di Kilometer 53, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 3, Jalan Bernam, di sini, kelmarin, meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pihaknya dimaklumkan oleh Hospital Sungai Buloh pada jam 5 petang tadi bahawa Mohd Azizi Faez Mohamad Alias, 33, menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari bertarung nyawa.

2 hari bertarung nyawa, lelaki bantu pengantin baharu kemalangan meninggal dunia

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira jam 10.50 malam kelmarin ketika Mohd Azizi Faez memandu dari arah Teluk Intan ke Klang.

“Setiba di lokasi, Mohd Azizi Faez melihat sebuah kereta Perodua Bezza berada dalam keadaan terbalik, sebelum cuba membantu untuk mengeluarkan mangsa kemalangan itu.
“Secara tiba-tiba, Mohd Azizi Faez dan Perodua Bezza yang dinaiki sepasang pengantin baharu itu dilanggar sebuah kereta jenis Nissan Almera,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Akibat perlanggaran itu, Ramli berkata, Mohd Azizi Faez tercampak lalu terjatuh ke atas jalan sehingga mengalami kecederaan parah.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang tadi

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Semalam, media melaporkan selepas hanya sehari bergelar pengantin pada Sabtu lalu, Norsyam Nasullah Rahim maut apabila kereta dinaiki bersama isterinya terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan yang turut menyebabkan lapan mangsa cedera, termasuk seorang parah.

Insiden kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika Norsyam Nasullah, 23, dan pasangannya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22, dalam perjalanan pulang ke Sungai Besar selepas menghantar busana pengantin yang disewa mereka ke sebuah butik di Kuala Lumpur pada hari sama.

Kejadian berkenaan yang membabitkan kereta jenis Perodua Bezza dinaiki pasangan pengantin baharu itu dengan Nissan Almera serta Honda City, turut menyebabkan Aini Hayati patah kaki kiri dan cedera di dagu.

Ramli dipetik berkata, nahas berlaku apabila Perodua Bezza terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda City.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan Perodua Bezza terbalik dan masuk ke lorong kanan jalan sebelum Nissan Almera gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta terbabit.

Sementara itu, Ramli ketika dihubungi berkata, polis sedang mengesan saksi kemalangan berkenaan.

“Saksi yang mempunyai maklumat berhubung nahas itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norasyikin Roslan, melalui talian 010-2621743,” katanya.

Baca Lagi:
Baru sehari bernikah, pengantin baharu maut kemalangan pulang dari hantar baju nikah, bersanding
Kucing tular berbaju ‘K9’ di lokasi Apartment Idaman bukan milik PDRM
Imam surau nyaris ditikam lelaki terganggu dengar bacaan al-Quran
CATEGORIES