2 bulan terperangkap dalam kereta diliputi salji, lelaki ini masih hidup tanpa makanan

Photo of author

By Syima Iza

2 bulan terperangkap dalam kereta diliputi salji, lelaki ini masih hidup tanpa makanan. Pada Februari 2012, dilaporkan satu kisah aneh di mana seorang individu terperangkap di dalam kereta selama tempoh dua bulan tanpa makanan dan minuman, namun ditemui masih hidup. Kejadian yang berlaku di Sweden itu melibatkan seorang lelaki berusia 44 tahun dikenali sebagai Peter Skyllberg.

Kisahnya bermula apabila Peter ditemui oleh penyelamat di dalam sebuah kereta berwarna hitam yang dilitupi salji tebal. Ketika dijumpai, susuk tubuhnya cengkung, tidak bermaya dan wajahnya pucat. Keadaannya yang lemah menyebabkan Peter sukar bercakap.

Lelaki itu segera dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan. Kejadian itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Keadaan keretanya yang diselaputi salji tebal membuatkan ia kelihatan seperti tidak berpenghuni. Tambahan pula apabila tiba musim sejuk, orang akan berada di rumah dan bukannya di dalam kereta.

2 bulan terperangkap dalam kereta diliputi salji, lelaki ini masih hidup tanpa makanan

Menurut laporan yang disiarkan Huffington Post, Peter terperangkap di dalam kereta sejak Disember 2011. Sepanjang tempoh dua bulan, lelaki itu berdepan dengan suhu sejuk sehingga -30C.

Tanpa sebarang bekalan makanan dengan persekitaran yang membeku, pelbagai persoalan timbul bagaimana lelaki ini mampu bertahan dalam keadaan sedemikian.

Semasa ditemui, Peter mengenakan pakaian tebal dan berada dalam bungkusan beg tidur. Mungkin itu menjadi penyelamat untuk dia terus bertahan sepanjang tempoh terperangkap.

Situasi yang dialami Peter dikategorikan sebagai kejadian luar biasa. Apatah lagi dia masih hidup ketika ditemui. Menurut Ketua Pegawai Perubatan Hospital Universiti Noorland, Dr. Ulf Segerberg, kes ini disifatkan sebagai aneh dan merupakan kes pertama kendaliannya.

2 bulan terperangkap dalam kereta diliputi salji, lelaki ini masih hidup tanpa makanan
Keadaan kereta Peter sewaktu ditemui.

Dengan suhu sejuk melampau serta tanpa bekalan makanan, adalah mustahil untuk seseorang bertahan dalam keadaan seperti itu. Ia sama sekali berbeza dengan haiwan seperti beruang yang terkenal dengan proses hibernasi.

Jelas Dr. Segerberg, kemungkinan Peter boleh bertahan disebabkan oleh suhu semula jadi kenderaan. Dengan kata lain, hawa di dalam kereta bertindak baik dan memiliki persamaan seperti berada di dalam iglu, binaan yang sinonim dengan masyarakat Eskimo.

Keadaan yang sama dialami oleh Peter semasa berada di dalam kereta di mana persekitaran di dalamnya mampu memelihara suhu tubuh untuk terus bertahan walaupun tanpa bekalan makanan.

Dua bulan merupakan tempoh yang panjang kerana setiap hari badannya menjadi semakin lemah. Sehinggalah pada bulan Februari dia diselamatkan oleh dua orang penyelamat yang kebetulan melalui kawasan berhampiran.

2 bulan terperangkap dalam kereta diliputi salji, lelaki ini masih hidup tanpa makanan
Keadaan dalam kereta Peter.

Penemuan ke atasnya telah menimbulkan persoalan kepada masyarakat umum tentang keberadaan lelaki ini di dalam kenderaan tersebut. Berdasarkan laporan akhbar tempatan, Peter mengalami kesukaran hidup selepas gagal dalam kerjaya. Dia berhadapan dengan masalah kewangan yang menyebabkannya nekad untuk meninggalkan rumah.

Peter tinggal di dalam kereta miliknya sejak Mei dan mula memandu tanpa arah. Apa yang pasti, destinasi perhentiannya adalah lokasi yang jauh daripada tumpuan orang ramai. Dia menggunakan wang yang ada untuk membeli makanan dan minuman di kedai berhampiran jalan sebagai bekalan.

Bulan berganti bulan, simpanan duit miliknya semakin habis. Dijadikan cerita, ketika itu juga salji mula turun menandakan ketibaan musim sejuk pada penghujung tahun. Rumput, tanah dan jalan mula memutih. Kereta Peter pula tidak mampu bergerak gara-gara kehabisan minyak dan wang. Lama-kelamaan, permukaan luar kenderaannya dipenuhi salji sehingga menjadi tebal.

Pada masa sama, Peter tidak mempunyai tenaga untuk keluar mencari bekalan makanan. Situasi itu mengakibatkan salji semakin menebal di sekeliling keretanya termasuk bahagian pintu. Kesannya, kenderaan ini kelihatan seperti tidak bertuan kerana tiada tanda-tanda individu keluar masuk dengan jelas. Pun begitu, pintu belah kanan kereta masih boleh dibuka kerana salji di bahagian tersebut kurang berbanding permukaan lain.

Peter sendiri tidak menyangka bahawa dia mampu bertahan untuk tempoh lama ketika musim sejuk tanpa bekalan makanan. Biarpun pada waktu ditemui, lelaki ini tidak mahu diselamatkan. Namun, disebabkan tidak kuat untuk terus ‘membeku’, dia akur untuk dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan. Peter kembali pulih selepas beberapa minggu berada di hospital.

Baca Lagi:
Gara-gara putus cinta, wanita cuba terjun jambatan Putrajaya
Isham cabar Tuan Ibrahim debat isu ‘sedekah’
Demi ‘Menu Rahmah’ ibu tunggal sanggup tunggang motosikal 30 minit ke pasaraya Mydin