18 tahun hidup bersama, Fazley Yaakob sah bercerai.
Cef selebriti dan penyanyi popular, Datuk Fazley Yaakob, mengesahkan bahawa rumah tangga yang dibina selama 18 tahun bersama Azrene Soraya Abdul Aziz telah berakhir dengan perceraian.
Menerusi kenyataan rasmi, Fazley memaklumkan bahawa dia dan bekas isterinya, yang juga dikenali sebagai Azrene Ahmad, telah sah bercerai beberapa bulan yang lalu.
Menurut pelantun lagu ‘Asmara Ini’ itu, keputusan untuk bercerai diambil atas persetujuan bersama.
“Semoga dengan adanya pengumuman ini, tidak akan ada lagi kekeliruan tentang hubungan kami berdua selepas ini,” jelas Fazley.
Fazley telah memfailkan penceraian beberapa bulan yang lalu, dan tempoh edah telah pun tamat beberapa minggu lalu.
Sehubungan dengan itu, keempat-empat anak pasangan tersebut kini berada di bawah hak jagaan bersama.
Dalam pada itu, Fazley juga memberitahu bahawa hubungannya dengan bekas isterinya kekal baik seperti ketika mereka mula-mula berkenalan dahulu.
Hasil daripada perkahwinan selama lapan belas tahun, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.
Mereka mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, dan Ahmad Fierudz Shah, 13, serta seorang anak perempuan, Alayna Selma, 7.