150 negara bakal terputus internet & komunikasi, setelit Boeing tiba-tiba meletup.
Sebuah satelit keluaran Boeing mengalami ‘kegagalan sistem’ yang mengakibatkan ia meletup secara tiba-tiba di orbit, menyebabkan gangguan internet dan komunikasi di seluruh dunia, lapor portal berita MailOnline pada 24 Oktober 2024.
Satelit seberat hampir 2,267 kilogram, iS-33e, telah pecah menjadi lebih 50 serpihan pada hari Isnin lalu.
Satelit tersebut dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan satelit antarabangsa, Intelsat, yang menyediakan perkhidmatan komunikasi kepada pelbagai pelanggan di hampir 150 negara.
iS-33e merupakan satelit yang digunakan untuk perkhidmatan telefon, internet, komunikasi mudah alih, dan penyiaran isyarat televisyen serta radio. Punca sebenar kegagalan satelit ini belum didedahkan. Namun, Intelsat menyatakan bahawa satu ‘anomali’ pada 19 Oktober menyebabkan iS-33e mengalami kegagalan secara spontan.
Pada masa lalu, satelit seperti iS-33e telah mengalami kerosakan akibat perlanggaran dengan serpihan angkasa atau meteoroid dan peningkatan aktiviti suria. Terdapat kemungkinan salah satu daripada faktor ini menjadi punca kegagalan satelit tersebut.
Angkatan Angkasa Amerika Syarikat kini sedang memantau sekitar 20 serpihan yang dikaitkan dengan kejadian itu.
Kejadian ini menambahkan jumlah sampah angkasa yang semakin meningkat di orbit sekitar Bumi, yang turut meningkatkan risiko serpihan jatuh semula ke Bumi.
Intelsat menyatakan bahawa pihaknya sedang memindahkan perkhidmatan iS-33e ke satelit lain dan sedang menjalankan analisis untuk mengetahui punca sebenar letupan tersebut.